fbpx
Connect with us

Subscribe

Khir Khalid

5 Prinsip Penting Membina Kerjaya Sebagai Ahli Pemasaran

Walaupun teknologi dan pasaran sentiasa berubah, terdapat prinsip yang akan terus kekal sebagai asas penting yang perlu sentiasa diamalkan

Photo by Quang Nguyen Vinh from Pexels

Pemasaran merupakan satu bidang kerjaya yang mempunyai potensi yang luas. Bagi yang meminati dan menceburi bidang ini pasti memahami bahawa ia bukan sahaja memerlukan pengetahuan, tetapi kesungguhan dan kreativiti agar dapat mencapai hasrat dan matlamat yang disasarkan.

Bidang pemasaran juga merupakan asas penting dalam memastikan sesebuah perniagaan dapat terus bersaing dan berkembang maju. Ibarat slogan “Marketing means business”, ia sentiasa berkait rapat dengan kepentingan membangun perniagaan yang berdaya maju. Ilmu pemasaran akan sentiasa berkembang mengikut kemajuan teknologi, mempengaruhi pasaran dan trend pengguna di seluruh dunia.

Namun disebalik perkembangan semasa, teknologi dan pasaran yang sentiasa berubah, terdapat prinsip yang akan terus kekal sebagai asas penting yang perlu sentiasa diamalkan untuk memperkasa kredibiliti diri, hubungan industri, prospek dan pelanggan sebagai seorang ahli pemasaran.

5 Prinsip Penting Ahli Pemasaran

Berikut saya senaraikan 5 prinsip ahli pemasaran yang patut menjadi amalan disebalik apa jua perubahan semasa, teknologi dan trending pasaran yang berlaku. Ia merupakan elemen biasa yang kebanyakan kita sudah tahu tetapi tidak seharusnya diambil mudah. Amalkan 5 prinsip penting di bawah ini:

Menghormati Masa. Menghormati masa adalah satu tuntutan dalam apa jua bidang kerjaya dan kehidupan. Begitu juga sekiranya anda serius dalam membangun profesyen sebagai seorang ahli pemasaran. Ia merupakan tuntutan yang paling utama.

Perlu sentiasa memastikan pengurusan masa yang baik antara kerjaya, peribadi dan keluarga. Pastikan juga anda dapat menepati masa dalam setiap temujanji dan apa jua urusan yang berkait dengan masa. Sebaiknya hadir terlebih dahulu atau 5 minit lebih awal dari masa temujanji kerana ia menggambarkan komitmen anda kepada pelanggan atau prospek.

Sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak dijangka sebelum temujanji, pastikan pelanggan atau prospek dimaklumkan segera. Bergantung pada keadaan, adalah sebaiknya anda hubungi dan bercakap dengan pelanggan berbanding membatalkan temujanji dengan bermesej di WhatsApp.

Menjaga Etika Pemakaian. Terdapat pelbagai tips rujukan atau kursus-kursus yang ditawarkan bagi anda meningkatkan kredibiliti melalui penerampilan imej yang profesional. Mematuhi kod etika pemakaian dalam majlis juga penting sebagai seorang ahli pemasaran atau jualan dalam membina dan memperkasa kerjaya.

Pemakaian perlulah sopan sama ada santai atau formal kerana secara tidak langsung ia menunjukkan penghormatan kita terhadap temujanji tersebut. Cuba buat sedikit kajian sebelum menghadiri sebarang pertemuan tentang jenis urusan, suasana lokasi pertemuan, gaya prospek dan pelanggan atau sesuatu acara yang akan dihadiri agar pemakaian anda dapat memberi impak positif.   

Tonasi Suara Dan Gaya Komunikasi. Seorang mentor pemasaran bernama Philip Kotler pernah menekankan kepentingan “tone of voice in marketing communication”. Ia bukan sahaja merangkumi tonasi suara fizikal dalam gaya kita berkomunikasi dengan orang lain, tetapi juga tonasi ‘written voice’ dalam apa jua elemen dan saluran penulisan era digital kini.

Pastikan tonasi suara tidak terlalu tinggi atau menjerit tetapi jelas, tegas dan ‘friendly’. Penting juga untuk kita pastikan perbualan yang bersifat komunikasi dua hala. Memanggil prospek dan pelanggan dengan nama atau gelaran yang betul juga antara kriteria penting dalam perbualan yang memberi impak positif untuk perhubungan yang lebih akrab dan profesional.

Cara berkomunikasi melalui perbualan dan penulisan juga perlu sentiasa dinilai untuk ditambahbaik kerana ia secara tidak langsung menggambarkan diri kita dalam profesionalisme kerjaya.   

Buat Catatan Nota Penting. Sediakan nota yang dikhaskan untuk segala urusan pertemuan. Sama ada mengunakan buku nota bertulis, notebook atau tablet, pastikan segala perkara penting pada setiap pertemuan dicatat sebagai maklumat penting. Ia membantu agar anda tidak keliru dalam setiap urusan prospek dan pelanggan.

Terdapat beberapa tips yang menyarankan penggunaan buku nota yang secara tidak langsung menjadi sebahagian pangkalan data yang amat membantu pembangunan jangka panjang kerjaya. Buku nota atau gajet tersebut juga perlu sentiasa dijaga kemas kerana ada masa kita perlu menggunakan terus dalam mesyuarat atau pertemuan rasmi.

Melaksanakan Apa Yang Dijanji. Dalam bahasa lain menyebut “walk the talk”. Melaksanakan apa yang telah anda janjikan dengan sesiapa jua anda berurusan. Ini antara sebab mencatat nota itu penting agar kita tidak terlupa. Bagi sesetengah perkara, anda juga boleh nyatakan kepada prospek atau pelanggan secara terus seperti, “ini saya sertakan seperti apa yang telah dijanjikan, terima kasih!”.

Paling penting, jangan sesekali lari daripada apa yang dijanjikan sekiranya berlaku perkara tidak dijangka. Pastikan anda menjawab panggilan atau mesej dan belajar mengendali situasi dengan penjelasan dan solusi sebaiknya. Tiada istilah lari bagi seorang yang jujur membina profesyen. Fahamkan maksud istilah ‘mengadap’, maka hadapilah segala kemungkinan dengan etika dan tanggungjawab.

Memperkasa Kerjaya Dengan 5 Prinsip Asas

Apabila saya mengambil keputusan menceburi bidang keusahawanan sepenuh masa hampir 15 tahun lalu, saya amat bimbang jika tidak dapat memenuhi pelbagai komitmen peribadi dan keluarga yang perlu ditanggung. Saya juga risau dengan cabaran kemajuan teknologi, persaingan pasaran dan trending pengguna yang semakin berubah pantas.

Sehinggalah pada satu masa saya berpeluang menemubual dengan seorang ahli perniagaan berjaya dan ‘tycoon billionaire’ tempatan yang dihormati. Tanpa segan saya bertanya nasihat terbaik untuk individu seperti saya dalam membangun kerjaya. Sesungguhnya nasihat yang diberikan amat membantu membina fokus profesionalisme yang baik buat diri ini.

Justeru itu, 5 prinsip penting di atas adalah nasihat yang beliau kongsi untuk diamalkan. Saya yakin, ia pasti dapat membantu anda dengan lebih baik lagi dalam memanfaatkan setiap peluang dan potensi sebagai ahli pemasaran yang profesional dan berwibawa.

Sign Up For Our Newsletter

Written By

Khir Khalid is a certified marketing professional registered with the Institute of Marketing Malaysia. Besides being a columnist at Utusan Malaysia, he is also an associate marketing consultant and a digital content writer for commercial sectors and agencies. Follow him on LinkedIn and website.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelanggan Membantu Memasarkan Produk

Marketing

Mantap Bersama Dilancarkan Untuk Membantu Perniagaan Kecil Di Malaysia

Google

Potensi Augmented Reality Dalam Pemasaran Digital

Khir Khalid

Tiga Cabaran Besar Untuk Berubah

Leadership & Empowerment

Connect
Sign Up For Our Newsletter