fbpx
Connect with us

Subscribe

Khir Khalid

Tingkatkan Kredibiliti Pasaran Melalui Elemen Keusahawanan Sosial

Keutamaan elemen keusahawanan sosial adalah menyokong pembangunan ekonomi dan sosial secara seimbang, kos efektif dan strategik

Photo by Johnson Wang on Unsplash

Selaras dengan pembangunan United Nations Sustainability Development Goals (UNSDG), kemajuan teknologi digital hari ini turut mempengaruhi perubahan sentimen pasaran dan perspektif pengguna kepada satu anjakan positif yang memberi perhatian meluas terhadap isu nilai-nilai kemanusiaan, pembangunan sosial, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.

Malaysia juga tidak terkecuali. Secara realiti untuk berkembang dan bertapak kukuh dalam persaingan industri kini bukan sahaja memerlukan strategi pemasaran dan model perniagaan yang mampu menjana keuntungan ‘ROI’ serta kepuasan pelanggan, tetapi juga dapat memenuhi ciri-ciri nilai tambah keusahawanan yang prihatin terhadap pengukuhan aspirasi masyarakat yang mampan.

Atas faktor tersebut, banyak pihak telah menggalakkan pendekatan elemen Keusahawanan Sosial dalam memanfaatkan perubahan trend, mempertingkat kredibiliti dan reputasi pasaran. Secara tidak langsung juga membantu membina ‘goodwill’ hubungan jangka panjang perusahaan dan masyarakat.

Apa Itu Keusahawanan Sosial?

Keusahawanan sosial mengutamakan keperihatinan terhadap impak sosial dan pemerkasaan masyarakat melalui landasan entiti pendaftaran dan aktiviti perniagaan.

Bahasa Inggeris mengklasifikasikan Keusahawanan Sosial sebagai ‘Social Business’ dan ‘Social Enterprise’. Bergantung kepada kapasiti dan arah tuju perniagaan, ia menggabungkan aspek ‘keusahawanan’ dan ‘sosial’ dalam konsep kapitalisme konvensional. Usahawan sosial fokus menjana keuntungan namun turut mementingkan keperihatinan sosial sebagai misi penting dalam agenda perniagaan.

Ia berbeza dengan aktiviti badan kebajikan, sukarelawan atau Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memperuntukkan sebahagian keuntungan atau dana sumbangan untuk membangun kempen atau aktiviti-aktiviti manfaat sosial dan masyarakat. Elemen keusahawanan sosial lebih tertumpu kepada struktur dan aktiviti dalaman yang dilakukan dalam sesebuah perniagaan itu sendiri.

Oleh itu, sama ada anda seorang ahli perniagaan, usahawan atau individu yang menyandang amanah penting dalam organisasi perniagaan, terdapat beberapa contoh elemen keusahawanan sosial yang mungkin dapat membantu anda mencipta idea dan strategi dalam membina kredibiliti pasaran.

Aktiviti Memperkasa Keusahawanan Sosial

Terlebih dahulu, saya ingin memperkenalkan ikon usahawan sosial biasanya merujuk kepada Professor Muhammad Yunus, pemenang anugerah Nobel Keamanan dan Pengasas Grameen Bank. Beliau merupakan usahawan sosial, ahli perbankan dan ekonomi yang telah mengubah landskap sektor kewangan dengan mencipta polisi pembiayaan keusahawanan dan bimbingan khusus untuk golongan asnaf dan miskin tegar di Bangladesh.

Melalui inisiatif beliau membasmi kemiskinan dengan pembiayaan dan bimbingan keusahawanan ini telah berjaya membantu 8.4 juta peminjam dari kalangan pengemis, penganggur, asnaf dan miskin tegar menceburi pelbagai sektor perniagaan. Sehingga kini, Grameen Bank telah berjaya menyediakan pembiayaan mencecah USD10 billion dengan 100% pembayaran semula (repayment rate). Ia juga menjadi antara model pembiayaan keusahawanan terbaik di dunia.

Ya… mungkin apa yang beliau lakukan adalah sesuatu pencapaian dengan sumber daya yang besar bagi anda, begitu juga dengan saya. Namun apa yang beliau lakukan telah membuka mata dan inspirasi masyarakat dunia untuk menerapkan elemen keusahawanan sosial ini agar dapat disesuaikan dengan kepelbagaian sumber dan kemampuan masing-masing.

Terdapat 4 dasar inisiatif utama yang biasa dilakukan para pengusaha dan organisasi perniagaan dalam mengintegrasi elemen keusahawanan sosial merangkumi:

Meningkatkan Kualiti Gaya Hidup. Penglibatan organisasi swasta dalam menyokong usaha kerajaan mewujudkan kesedaran masyarakat dan meningkatkan kualiti gaya hidup sihat melalui khidmat nasihat, pemeriksaan serta bimbingan alternatif berdasarkan kebaikan produk yang diperkenalkan. Industri kecantikan, kesihatan dan pemakanan antara yang banyak terlibat melalui perunding jualan bertauliah kepada komuniti setempat.

Penekanan tentang kualiti gaya hidup ini antaranya berkaitan pemakanan sihat, penjagaan kesihatan, penjagaan kulit dan tubuh badan, kepentingan bahan organik dan bahaya bahan kimia serta pelbagai lagi yang berkait kekuatan produk tanpa mempromosinya secara ‘hard sell’. Tujuan utama bukanlah untuk berjual, tetapi untuk menyampaikan kepada masyarakat sebagai mesej keperihatinan dan komitmen.

Kelestarian Alam Sekitar. Mengetengahkan penggunaan bahan pembuatan berasaskan bahan kitar semula sebagai salah satu komitmen menjaga kelestarian alam sekitar. Kita boleh lihat telah banyak perniagaan kini yang menekankan kepentingan kitar semula melalui bahan-bahan yang digunakan untuk ‘packaging’ kepada produk yang dipasarkan. Ia juga satu usaha yang selaras tuntutan ‘sustainability development goals’ yang diperkenalkan.

Terdapat juga pelbagai inisiatif baru seperti produk kitar semula sabun hotel terpakai, bahan plastik, perabot, peralatan besi dan seumpamanya melalui proses distrilisasi yang ketat bagi membantu membendung pembaziran dan pencemaran alam sekitar. Ada juga proses yang melibatkan usahasama badan kebajikan yang dipasarkan sebagai produk kitar semula bagi membantu menjana sumber pendapatan kepada organisasi kebajikan.

Meningkatkan Taraf Sosioekonomi. Menyediakan kuota peluang pekerjaan atau agen jualan dan vendor yang dikhaskan untuk golongan kurang upaya, kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik. Bukan setakat itu, malah disediakan juga inisiatif bimbingan modal insan kepada mereka yang berpotensi untuk berpeluang menggalas jawatan dan peranan penting sehingga ke peringkat mengurus cawangan premis perniagaan.

Sebenarnya tanpa kita sedari, ada sebahagian produk-produk yang kita beli telah melalui proses pembuatan, pemasangan dan pemasaran yang melibatkan tenaga kerja golongan-golongan tersebut. Melalui usaha ini juga mampu membina kredibiliti kepada perusahaan bukan sahaja oleh pengguna, tetapi sokongan pengedar, institusi kewangan dan latihan termasuk badan-badan kerajaan.

Pengetahuan Dan Pendidikan. Terdapat juga organisasi, perunding atau agen jualan, takaful, hartanah, audit dan ahli profesional yang melaksanakan inisiatif melalui seminar, kursus atau sesi perkongsian percuma dengan tujuan memberi input pengetahuan dan kesedaran kepada orang ramai. Tujuan utama adalah membantu menyebarkan pengetahuan yang secara tidak langsung dapat membina kepercayaan masyarakat kepada organisasi atau individu terlibat secara terus.

Begitu juga dengan usaha menyebarkan risalah rujukan tertentu berdasarkan kelayakan, pengalaman dan penglibatan kerjaya dalam mengetengahkan pengetahuan kepada masyarakat. Inisiatif majalah online Marketing in Asia ini juga terkandung sebagai elemen keusahawanan sosial dalam mengetengahkan pengetahuan berdasarkan kelayakan seluruh para penulis untuk kebaikan kerjaya dan suntikan modal insan kepada pembaca.

Membina Kredibiliti Dengan Elemen Keusahawanan Sosial. Jika diperincikan, terdapat pelbagai lagi usaha-usaha yang dilakukan dalam mempertingkatkan kredibiliti pasaran dan perniagaan melalui inisiatif keusahawanan sosial ini. Malah terdapat banyak agensi berkaitan pembangunan keusahawanan kini yang turut menekankan elemen keusahawanan sosial sebagai satu landasan penting dalam menyuntik nilai daya saing yang strategik.

Keutamaan elemen keusahawanan sosial adalah menyokong pembangunan ekonomi dan sosial secara seimbang, kos efektif dan strategik. Secara tidak langsung juga, segala usaha membendung anasir negatif sosial, mempertingkatkan taraf sosioekonomi masyarakat dan memperkasa kelestarian alam sekitar dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa membebankan mana-mana pihak.

Keusahawanan sosial juga bertepatan dengan etika pemasaran yang bukan sekadar berkisar tentang penjualan produk, tetapi keperihatinan tentang faedah dan manfaat yang mampu diberikan kepada pengguna dan masyarakat seluruhnya.

Sign Up For Our Newsletter

Written By

Khir Khalid is a certified marketing professional registered with the Institute of Marketing Malaysia. Besides being a columnist at Utusan Malaysia, he is also an associate marketing consultant and a digital content writer for commercial sectors and agencies. Follow him on LinkedIn and website.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelanggan Membantu Memasarkan Produk

Marketing

Mantap Bersama Dilancarkan Untuk Membantu Perniagaan Kecil Di Malaysia

Google

Potensi Augmented Reality Dalam Pemasaran Digital

Khir Khalid

Tiga Cabaran Besar Untuk Berubah

Leadership & Empowerment

Connect
Sign Up For Our Newsletter